Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Safee nafi tohmahan

Posted:

Safee nafi tohmahan

Safee nafi tohmahan

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

SAFEE (kanan) tidak kisah jika diturunkan sebagai pemain gantian dalam skuad kebangsaan suatu hari nanti.


"JIKA suatu hari nanti saya sekadar diturunkan sebagai 'supersub' ataupun penyerang simpanan skuad kebangsaan bagi mana-mana kejohanan, saya reda dengan nasib saya.

"Namun, kata-kata negatif mengatakan saya tidak sudi menyarung jersi Harimau Malaya semata-mata kerana ditawarkan kontrak lumayan oleh Pelita Jaya jelas tidak benar sama sekali kerana saya masih berbangga dapat mewakili pasukan kebangsaan."

Demikian tegas penyerang No. 1 negara, Mohd. Safee Sali yang menafikan tohmahan negatif segelintir pihak kononnya beliau bersikap 'diva' dan tidak lagi teruja dipanggil menjalani latihan bersama skuad kebangsaan selepas menyambung kontrak selama dua musim yang bernilai RM2juta bersama Pelita Jaya awal tahun ini.

Menurut Safee, 28, sebagai pemain bola sepak, dia sentiasa sedar 'pasang surut' pemain yang hanya akan dipanggil mewakili negara jika berada di prestasi yang memberangsangkan selain bebas daripada kecederaan.

Jelas Safee, jika ada rakan-rakan sepasukan yang lebih cemerlang, dia reda dengan situasi tersebut dan sentiasa akur dengan arahan jurulatih, Datuk K. Rajagobal.

"Wang tidak akan 'membutakan' mata saya, saya masih teruja menyarung jersi negara meskipun ia sekadar perlawanan persahabatan.

"Keputusan saya kekal (bersama Pelita Jaya) juga bukan disebabkan wang, sebaliknya kerana terharu dengan jasa mereka yang bersungguh-sungguh membantu mengembangkan lagi karier bola sepak saya sebelum ini," tegasnya kepada Kosmo! semalam.

Safee yang baru sahaja tiba di tanah air pukul 11 pagi semalam, turun menjalani latihan bersama 16 lagi rakan sepasukan sebagai persiapan menentang Sabah dan Filipina dalam dua aksi persahabatan pada Jumaat dan 29 Februari ini.

Empat lagi pelatih iaitu Norshahrul Idlan Talaha, Mohamad Aidil Zafuan Abd. Razak, Mohd. Faizal Muhamad dan S. Subramaniam begitupun masih tidak dapat menyertai latihan gara-gara kecederaan, manakala tujuh pemain skuad Olimpik hanya akan menyertai latihan esok selepas aksi menentang Jepun bagi kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia Kumpulan C di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.

Rajagobal sebelum ini dilaporkan memandang serius aksi kesemua pemainnya termasuk Safee dalam kedua-dua pertemuan tersebut sebagai persiapan awal mempertahankan Piala AFF Suzuki tahun ini.

"Walaupun sekadar perlawanan persahabatan, keinginan untuk menang perlu ada dalam setiap diri pemain dan perlu bersikap profesional," tegas Rajagobal kepada pemberita kelmarin.

Dalam pada itu, pengurus peribadi Safee, Zakaria Ab Rahim menerusi emelnya kepada Kosmo! semalam memberitahu, masa depan Safee bersama Pelita Jaya dilihat semakin cerah selepas Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Indonesia (PSSI), Djohar Arifin Husin mengesahkan bahawa Liga Super Indonesia (ISL) adalah sebuah liga yang sah selepas campur tangan Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Dr. Ardi Malaranggeng baru-baru ini.

"Penglibatan Safee bersama skuad kebangsaan kali ini juga tidak menjejaskan aksi pasukannya, Pelita Jaya dalam ISL kerana jadual perlawanan telah pun dipinda bagi memberi laluan kepada aksi perlawanan antarabangsa.

"Ketika ini, Safee berjaya meledak tujuh gol bersama Pelita Jaya yang menduduki tangga ke-12 saingan ISL dengan 14 mata, 13 mata di belakang pendahulu liga, Sriwijaya FC yang begitu pun beraksi lebih empat perlawanan," jelasnya.

Harimau Muda tidak gentar

Posted:

Harimau Muda tidak gentar

Harimau Muda tidak gentar

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my


BARISAN pemain negara gigih berlatih menjelang pertemuan dengan Jepun hari ini.KIRI: Kim Swee memberi arahan kepada pemainnya pada sesi latihan terakhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.


ATAS kertas, impian skuad Harimau Muda untuk beraksi di bumi London sudah berakhir selepas gagal mengutip sebarang mata pada aksi kelayakan Olimpik 2012 peringkat kumpulan zon Asia.

Namun, bagi pengendalinya, Ong Kim Swee, beliau menyifatkan sebagai suatu kejayaan paling bermakna sekiranya barisan pemainnya dapat menundukkan 'ego' Jepun pada aksi Kumpulan C itu.

Kim Swee memberitahu, mereka kini berazam untuk melakarkan satu sejarah baharu dan sudah bersedia menghadapi 'amukan' pasukan yang dikenali sebagai Samurai Biru itu.

Jelasnya, tiada perasaan gentar yang menyelubungi pasukannya, sebaliknya beliau merumuskan perlawanan pada hari ini sebagai lain daripada lain.

Katanya, beliau menuntut barisan pemainnya supaya menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri dan menampilkan aksi agresif sebaik wisel permulaan dibunyikan.

"Tidak kira apa yang bakal berlaku pada malam esok (hari ini), kami sudah bersedia (untuk menghadapi Jepun).

"Apa yang pasti, corak yang kami tampilkan pada pertemuan tersebut pasti berbeza berbanding sebelum ini.

"Tekanan mungkin lebih terarah kepada Jepun yang merupakan pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan ini. Kami tidak tertekan dan kami bersedia untuk melakarkan kejutan terhadap pasukan No. 1 Asia ini.

"Sudah tentu ia merupakan pencapaian terbaik buat skuad negara sekiranya kami berjaya menewaskan Jepun.

"Jadi, saya mahukan pemain-pemain saya memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri dengan memberikan laluan sukar kepada skuad kendalian Takashi Sekizuka ini," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Begitupun, Kim Swee masih bersikap realistik dan mengakui ia merupakan suatu cabaran besar buat skuadnya untuk merealisasikan impian tersebut.

Sambil mengakui tahap kecergasan pemainnya sebagai memuaskan, beliau tetap merasa optimis sambil melaungkan keyakinan untuk menyekat lawan mereka itu.

"Beraksi menentang Jepun, sudah tentu ia sukar buat kami. Jika Jepun berazam untuk 'membelasah' Harimau Muda, kami pula mengidam untuk 'memalukan' Samurai Biru menjelang pertemuan tersebut.

"Kami mahu mencapai suatu tahap yang boleh dibanggakan. Menewaskan Jepun mungkin dapat 'mengubati' kekecewaan kami setelah gagal mara ke pusingan seterusnya.

"Begitupun, saya tetap berpuas hati dengan pencapaian barisan pemain saya setakat ini," ujarnya.

Basikal: Malaysia mampu jadi kuasa

Posted:

Basikal: Malaysia mampu jadi kuasa

Basikal: Malaysia mampu jadi kuasa

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril@kosmo.com.my


KEBANGGAAN negara (dari kiri) Umi Hamimah, Josiah Ng, Fatehah Mustapa dan Mohd. Azizulhasni Awang yang terus menyerlah di pentas antarabangsa.


KEJUARAAN Lumba Basikal Asia (ACC) 2012 yang melabuhkan tirainya di Putrajaya minggu lepas membuktikan bahawa Malaysia masih lagi boleh dianggap antara kuasa besar dalam sukan berbasikal di rantau ini.

Pada temasya yang berlangsung selama 10 hari itu, Malaysia secara keseluruhannya berjaya mengutip tiga pingat emas, tujuh perak dan lima gangsa (3-7-5) dalam saingan trek dan lebuh raya kategori elit serta remaja.

Paling ketara ialah kejayaan skuad trek elit yang menyumbang tiga emas, tiga perak dan dua gangsa sekali gus mengatasi pencapaian 1-1-5 pada edisi tahun lepas di Korat.

Tiga pingat emas tersebut hadir menerusi Mohd. Edrus Yunus dalam acara satu kilometer ujian masa individu, manakala Josiah Ng dan Fatehah Mustapa masing- masing menghadiahkan kilauan tersebut dalam keirin lelaki dan wanita.

Sementara itu, jaguh sensasi negara, Mohd. Azizulhasni Awang pula masih belum mencapai tahap prestasi yang diharapkan apabila hanya mampu menyumbang dua pingat perak (pecut dan keirin) selepas pulih daripada kecederaan akibat tertusuk serpihan kayu ketika beraksi pada siri Jelajah Trek Dunia di Manchester, Februari tahun lalu.

Begitupun, satu kesimpulan yang amat ketara pada ACC 2012 kali ini ialah jurang perbezaan antara pencapaian skuad trek dan skuad lebuh raya.

Skuad lebuh raya negara dilihat bergelut sepanjang saingan yang berlangsung di Putrajaya itu apabila hanya Muhammad Adiq Hussainie Othman sahaja yang berjaya menyumbang pingat kepada kem Malaysia iaitu pingat perak dalam kategori bawah 23 tahun tatkala pelumba-pelumba elit dan remaja yang lain gagal menepati sasaran dalam acara masing- masing.

Sebelum saingan tersebut bermula, skuad lebuh raya yang dikendalikan Syed Muhammad Hussaini Syed Mazlan turut dilanda kontroversi apabila pelumba pecut, Anuar Manan digugurkan pada saat- saat akhir kerana tidak memberi komitmen terhadap latihan dan tempatnya diambil alih oleh Mohd. Harrif Salleh.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PK- BM), Abu Samah Abd Wahab mengakui, prestasi pelumba lebuh raya negara masih belum mencapai tahap memuaskan, namun menjelaskan bahawa beliau tetap berpuas hati dengan pencapaian keseluruhan Malaysia pada edisi di Kuala Lumpur kali ini.

Menurut Abu Samah, pencapaian pada ACC 2012 ini adalah yang terbaik dalam masa empat tahun sejak kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas ketika ACC 2008 di Nara, Jepun.

"Saya sedar prestasi skuad lebuh raya negara sekali lagi menjadi perhatian dan saya akui kita masih belum mencapai tahap yang disasarkan berbanding dengan negara-negara Asia yang lain seperti Jepun, Korea Selatan dan Iran.

"Namun, kejayaan Mohd. Zamri Salleh menduduki tempat keempat dalam acara elit lelaki juga sebenarnya berjaya melakar sejarah tersendiri dan memperbaiki pencapaian kita pada ACC tahun lalu, sekali gus membuktikan pelumba Malaysia masih berkemampuan memberi saingan kepada jaguh Asia lain.

"Apa pun, saya tetap berpuas hati dengan prestasi keseluruhan skuad Malaysia pada kali ini kerana berjaya mengatasi sasaran satu pingat emas yang diletakkan sebelum ini.

"Malah, saya rasa kita juga sepatutnya bersyukur kerana idea kita untuk memperkenalkan acara lebuh raya bawah 23 tahun buat kali pertama akhirnya membuahkan hasil apabila Adiq (Hussainie Othman) memenangi pingat perak," tambahnya yang juga merupakan naib presiden Persekutuan Berbasikal Asia.

Sementara itu, pencapaian Malaysia dalam kategori remaja juga boleh dibanggakan meskipun tiada pingat emas disumbangkan oleh pelumba-pelumba pelapis negara.

Dalam kategori tersebut, skuad trek remaja negara berjaya memenangi tiga pingat perak dan empat gangsa.

Paling menyerlah ialah pelumba wanita, Ummi Hamimah Mohamad yang berjaya menghadiahkan dua pingat perak tersebut dalam acara pecut dan keirin serta satu gangsa dalam acara pecut berpasukan dengan bergandingan bersama Lauretta Eva Adrian.

Seorang lagi pelumba wanita, Noor Azian Maslin Sazali menyumbang satu pingat perak dalam acara scratch.

Trio pecut lelaki remaja, Muhd. Fauzan Nor Azman, Malek Marcus McCrone dan Muhd. Asri Suraizi Mat Riadzi juga berjaya menunjukkan potensi yang diharapkan selepas memenangi pingat gangsa dalam acara tersebut.

Secara keseluruhannya, pencapaian Malaysia dalam ACC 2012 ini masih lagi memuaskan, terutamanya dalam acara trek baik bagi kategori elit mahupun remaja.

Cuma, apa yang perlu PKBM beri perhatian yang serius ialah mencari formula baharu untuk memperbaiki pencapaian skuad lebuh raya negara yang masih jauh ketinggalan berbanding skuad trek.

Mereka kini perlu menggandakan usaha agar tampil lebih bertenaga bagi memberi saingan kepada jaguh-jaguh Asia yang lain pada edisi tahun depan di New Delhi, India.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan