Kosmo Online - Sukan |
Posted: Menang lagi
SKUAD hoki negara mencatat kemenangan ketiga pada kempen Kelayakan Olimpik 2012 London apabila membelasah Ukraine 5-1 di Dublin, Ireland malam semalam. Begitupun, kejayaan besar tersebut masih belum selesa buat skuad negara dari segi perbezaan jaringan kerana dua pencabar utama, Korea Selatan dan Ireland masing-masing menang dengan jumlah yang lebih besar iaitu 8-2 dan 12-0. Ini bermakna Malaysia hanya akan layak ke final sebagai dua pasukan teratas dengan mengharapkan kemenangan ke atas Korea Selatan atau Ireland dalam dua baki perlawanan kempen ini. Pada aksi semalam, skuad kendalian Tai Beng Hai itu sekali lagi buntu mencari gol seawal mungkin dengan beberapa percubaan terbaik di depan gol Ukraine dilepaskan begitu saja sepanjang 20 minit permainan. Pemain penyerang, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd. Jalil akhirnya meledakkan gol pertama pada minit ke-26 sebelum Hafifihafiz Hanafi menambah gol kedua (32) dan Muhd. Razie Rahim menjadikan kedudukan 3-0 menerusi jaringan sudut penalti tiga minit selepas babak kedua bermula. Ukraine bagaimanapun cuba memberi tentangan dengan mendapat gol pertama mereka pada minit ke-57, namun Muhd. Amin Rahim dan Mohd. Sukri Mutalib akhirnya memadam usaha pasukan tangga ke-29 dunia itu masing-masing dengan jaringan sudut penalti (60) dan penalti(68). Esok, skuad kendalian Tai Beng Hai itu akan berdepan laluan getir apabila turun berdepan Korea Selatan yang dilihat sebagai antara penentu kepada nasib Malaysia dalam kempen kelayakan ini. | |
Malaysia tagih kudrat Chong Wei Posted: Malaysia tagih kudrat Chong WeiOleh HELMI TALKAH KECEDERAAN yang melanda Chong Wei diharap tidak serius dan membolehkan pemain No. 1 dunia itu beraksi pada Piala Thomas di China, Mei depan. KUDRAT Datuk Lee Chong Wei tetap ditagih skuad negara pada pusingan akhir kejohanan badminton Piala Thomas 2012 di Wuhan, China, Mei depan. Anggota Pasukan Prestasi Tinggi (HPT) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj berkata, penampilan Chong Wei pada kempen Piala Thomas 2012 amat diperlukan bagi memantapkan skuad negara. Malah, James juga berharap Chong Wei yang juga pemain No. 1 dunia boleh disenaraikan apabila skuad negara menghadapi Piala Axiata yang akan membuka tirainya 23 Mac ini. "Jika boleh, Chong Wei memang perlu ada dalam skuad negara bagi menghadapi kedua-dua kejohanan tersebut. Dia adalah pemain utama dan kehadirannya pasti mampu memperkuatkan cabaran skuad negara. "Sekiranya pasukan lain membariskan pemain terkuat mereka, ia pasti akan mendatangkan kesukaran kepada skuad negara bagi menghadapi dua kejohanan tersebut tanpa Chong Wei. "Namun, jika tidak boleh, kita terpaksa menyenaraikan pemain lain," kata James ketika dihubungi Kosmo! semalam. Terdahulu, Chong Wei, 30, mencetuskan kebimbangan peminat sukan tanah air selepas dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian bahu kanan. Kecederaan yang dialami itu menyebabkan Chong Wei terpaksa menarik diri pada aksi final Seluruh England 2012 ketika menentang seteru utamanya dari China, Lin Dan di Arena Tertutup Nasional Birmingham, England kelmarin. Situasi itu sekali gus menghadirkan tanda tanya sama ada Chong Wei boleh diturunkan atau tidak pada kempen Piala Axiata dan Piala Thomas khususnya. Lebih membimbangkan, ia juga dilihat boleh menjejaskan persiapan pemain kelahiran Pulau Pinang itu dalam misi memburu emas pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London, Julai depan. Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dalam kenyataannya kelmarin, mahu Chong Wei melupakan kempen Piala Thomas 2012 sekiranya kecederaan yang dialami benar-benar serius. Bagaimanapun, James menjelaskan bahawa sebarang keputusan hanya boleh dibuat selepas Chong Wei melakukan rawatan susulan sebaik pulang ke tanah air. "Saya difahamkan (Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara), Datuk Dr. Ramlan (Abdul Aziz) ada memberitahu yang kecederaan Chong Wei tidak serius dan saya juga harap begitu. "Buat masa sekarang kita tidak boleh membuat sebarang keputusan sehinggalah Chong Wei melakukan rawatan susulan. Kita perlu tahu apa punca kecederaannya itu," jelas James. | |
Misi 'tutup buku' dengan kejayaan Posted: Misi 'tutup buku' dengan kejayaanOleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE BIARPUN terlepas peluang ke Sukan Olimpik London, anak-anak buah Kim Swee (dua dari kanan) mahu melakar kemenangan apabila bertemu Syria di Amman, Jordan malam ini. ATAS kertas, perhitungan antara skuad Olimpik negara dan gergasi Asia Timur, Syria dalam aksi penutup tirai Kumpulan C kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia di Stadium Raja Abdullah, Amman, Jordan malam ini dilihat tidak ubah seperti pelengkap jadual kemenangan semata-mata. Bagi jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee, ia masih satu perlawanan yang cukup penting, terutamanya sebagai persiapan menjelang kelayakan Piala Asia Bawah 22 tahun pada Jun depan. Menurut beliau, inilah medan terbaik menguji kemampuan pemain muda negara selain aksi kompetitif dalam saingan Liga Singapura (Liga S) yang menyaksikan Hari- mau Muda mengumpul enam mata maksi- mum hasil dua kemenangan setakat ini. Biarpun skuad Olimpik negara seolah-olah 'diajar' erti sebenar bola sepak oleh Jepun, Syria dan Bahrain apabila gagal mencuri sebarang mata dalam lima perlawanan sebe- lum ini, ia langsung tidak menjejaskan sema- ngat anak-anak buah Kim Swee. "Kecewa memanglah kecewa kerana gagal mengutip sebarang mata, namun jika dilihat dari sudut positif, pasukan negara bukannya tewas mudah tanpa melawan dalam setiap perlawanan sebelum ini. "Saya percaya, tahap keyakinan dan kematangan pemain akan meningkat jika berterusan didedahkan dengan aksi kompetitif seperti ini," kata Kim Swee baru-baru ini. Skuad Kim Swee berlepas ke Jordan kelmarin tanpa kehadiran Gary Steven Robat dan Thamil Arasu yang terpaksa diketepikan gara-gara kecederaan, selain Wan Zack Haikal Wan Noor yang masih berdepan penggantungan perlawanan gara-gara dilayangkan kad merah ketika menentang Bahrain tempoh hari. Disebabkan itu, Kim Swee dijangka menggandingkan Syahrul Azwari Ibrahim bersama Ahmad Shakir Md Ali atau penyerang Felda United, D. Saarvindran bagi menggem- pur benteng Syria. Sementara itu, Ahmad Fakri Saarani dan Mohd. Affizie Faisal Mamat pula dijangka mengisi kekosongan Gary dan Wan Zack dan bergandingan bersama Irfan Fazail serta Nazmi Faiz Mansor di bahagian tengah Hari- mau Muda pada perlawanan malam ini. Selain itu, dua muka baharu juga dibawa 'terbang' ke Jordan kali ini iaitu penyerang Sarawak, Ashri Chu Chu dan pemain tengah Sabah, Rozaimi Abdul Rahman yang berke- mungkinan diturunkan Kim Swee. Apa yang penting, skuad Olimpik negara perlu berwaspada memandangkan Syria yang ketika ini berkongsi sembilan mata de- ngan Bahrain, pastinya menurunkan pasukan yang terkuat dan langsung tidak memberikan 'muka' bagi menjamin slot playoff untuk layak ke London akhir Julai depan. Bukan apa, dendam tewas 0-2 kepada skuad kendalian Immad Khankan di Stadium Nasional, Bukit Jalil sejurus selepas mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Jakarta, Indonesia, November lalu juga perlu ditebus pemain muda negara. Peduli apa jika skuad negara dilabel 'budak pengacau' oleh media Syria, asalkan kita berupaya mengekang impian Syria untuk mara lebih jauh. Sekurang-kurangnya, pemain muda negara wajib 'menutup buku' saingan kelaya- kan Olimpik dengan penuh bergaya sebelum kembali membuat perhitungan dengan kelab Albirex Niigata dalam saingan Liga S empat hari kemudian. Justeru, teruskan berjuang Harimau Muda! |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan