Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


‘Pilih ahli sukan teraju persatuan’

Posted: 25 Apr 2012 10:34 AM PDT

"SELAGI sebuah persatuan tidak diterajui mereka yang arif dengan dunia sukan, selagi itu tidak akan ada sebarang perubahan."

Demikian tegas pengkritik sukan, Tan Sri Dr Prof Emeritus Khoo Kay Kim ketika mengulas kesediaan Datuk Danyal Balagopal Abdullah serta Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk bertanding merebut jawatan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang belum diumumkan tarikhnya.


Menyambut baik hasrat dua individu berkaliber itu, Kay Kim bagaimanapun menyatakan, beliau lebih senang menyaksikan pemimpin yang bakal menerajui KOM bebas daripada agenda tertentu, tidak seperti kebanyakan pemimpin sukan pada masa ini yang pada penilaiannya mempunyai agenda peribadi apabila diberi tanggungjawab memegang jawatan penting.

"Saya rasa sudah tiba masanya pemimpin yang dipilih dinilai berdasarkan kepada profesionalisme mereka. Jika pemimpin sukan, mereka mesti tahu dunia sukan dan bukannya ahli politik dilantik menerajui sesebuah persatuan.


"Bukan tidak boleh membabitkan ahli politik sebab mereka juga penting untuk mengatur tugas tertentu seperti mesyuarat tapi janganlah sampai campur tangan perkara yang membabitkan sukan.


"Sudah sering saya katakan sebelum ini, mereka yang mahu memimpin persatuan mesti benar-benar faham selok-belok dunia sukan. Janganlah diserahkan (jawatan) kepada orang yang tak faham pula.

"Nanti bila sampai masa mereka ada kuasa, mereka melakukan perkara yang tidak sepatutnya," katanya.


Sebagai pemerhati sukan tempatan, Kay Kim sedar KOM memerlukan perubahan drastik, baik daripada segi pengurusan mahupun pembangunan atlet di akar umbi.

"Perkara ini (masalah dalam KOM) bukan berlaku satu dua tahun, malah lebih 30 hingga 40 tahun tidak ada perkara yang membanggakan mengenai mereka sedangkan olahraga adalah sukan tertua di negara ini," katanya.


Baru-baru ini, Danyal yang juga bekas Timbalan Presiden KOM menyuarakan hasrat untuk bertanding mencabar jawatan Presiden KOM yang kini disandang Datuk Seri Shahidan Kassim. Tunku Ismail juga menyatakan persetujuan dicalonkan sebagai Presiden selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.


Misi ketiga terbaik Asia

Posted: 25 Apr 2012 10:26 AM PDT

PASUKAN renang berirama kini menetapkan misi untuk berada di kelompok tiga terbaik Asia selepas gagal menempah tiket ke Olimpik London 2012, Julai ini.

Bagi mencapai sasaran itu, skuad diketuai Katrina Ann Abdul Hadi itu perlu menumpukan pada dua kejohanan utama tahun ini, Kejohanan Asean, Julai ini sebelum ke Kejohanan Asia, November.


"Kami berada di ranking keenam Asia dan kini menetapkan sasaran untuk berada di kelompok tiga terbaik selepas mengungguli rantau Asia Tenggara pada saingan Sukan Sea, Indonesia tahun lalu.

"Skuad ini berada di landasan tepat untuk terus meningkat naik andai kekal konsisten. Meskipun gagal meraih tiket sulung ke Olimpik London kami optimis untuk menempah tiket pada temasya 2016.


"Keyakinan ini disumbang pendedahan skuad pada saingan kelayakan ke London 19 April lalu. Kami berjaya mengenal pasti kelemahan sendiri mahupun lawan untuk beraksi dengan lebih baik pada kejohanan utama akan datang," katanya yang baru pulang ke tanah air kelmarin selepas menyertai saingan kelayakan ke London.


Mengulas lanjut kegagalannya ke Olimpik, Katrina berkata, skuad sudah melakukan yang terbaik tetapi nasib tidak menyebelahi mereka yang tidak diberi kutipan mata memuaskan oleh pengadil.

"Antara faktornya ialah kami tidak beraksi dalam mana-mana saingan luar negara sebelum melangkah ke London. Malah pengadil tidak begitu mengenali pasukan dari Malaysia mengakibatkan mereka cenderung untuk tidak memberi mata memuaskan.


"Sekiranya kami beraksi dalam lebih banyak saingan luar negara, maka ia pendedahan terbaik untuk menjadikan renang berirama lebih dikenali di mata pengadil," katanya.

Skuad renang berirama baru saja dinobat pasukan wanita terbaik pada Anugerah Sukan Negara, minggu lalu, selepas cemerlang menyapu bersih lima emas yang dipertandingkan pada Sukan Sea, Indonesia.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan