MALAYSIA mengulangi sejarah 1992 apabila melangkah ke final Kejohanan Hoki Piala Remaja Asia ketujuh selepas menang 2-0 ke atas India pada aksi separuh akhir di Stadium Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Bukit Serindit, semalam.
Pada final Ahad ini menyaksikan pertembungan anak buah Muhammad Dharma Raj Abdullah dengan Pakistan sekali gus memberi peluang membalas dendam selepas tewas kepada lawan sama 20 tahun lalu di Ipoh serta menjulang piala itu buat kali pertama.
Pakistan mara ke pentas final selepas membelasah Korea Selatan 6-1 pada satu lagi akhir separuh akhir, semalam.
Pengurus pasukan, Mirnawan Nawawi berkata, suntikan semangat jurulatih di bilik persalinan ketika tempoh rehat separuh masa pertama menjadi kunci kepada kebangkitan semula skuad negara selepas sekadar seri tanpa jaringan pada babak pertama.
"Pertamanya syukur kerana kami mencatatkan kemenangan kerana bukan satu tugas mudah menewaskan India.
"Pemain kami pada awalnya juga tidak beraksi baik apabila mensia-siakan banyak peluang dan permainan berubah pada separuh masa kedua selepas mereka diminta lebih tenang dan tidak terlalu tertekan ketika bermain.
"Kini kami tinggal selangkah lagi untuk mengecap kejuaraan," katanya.
Walaupun gagal memecah kubu lawan sepanjang babak pertama, namun percubaan menarik Muhammad Firhan Ashaari pada minit ketujuh hampir meletakkan skuad negara di depan.
India turut memiliki tiga peluang menghasilkan gol pada minit ke-16 menerusi Sukhdey Singh, Amir Rohidass (m-22) dan Malak Singh namun gagal melepasi halangan terakhir penjaga gol, Hazrul Faiz Ahmad Sobri.
Bersambung babak kedua, skuad negara memperaga aksi lebih agresif dan menguasai setiap penjuru gelanggang pada perlawanan disaksikan kira-kira 4,000 penyokong skuad negara.
Hasilnya pakar pukulan sudut penalti negara, Faizal Saari meledak masuk gol pertama Malaysia pada minit ke-40 untuk meletakkan skuad remaja negara di depan.
Faizal sekali hampir menambah jaringan buat negara, namun pukulan kencangnya pada minit ke-44 berjaya ditepis penjaga gol Sushant Tirkey.
India yang berazam mencipta kejuaraan hatrik jelas mengasak agresif ke gawang skuad negara namun dua pukulan sudut penalti mereka pada minit ke-55 dan 56 menerusi Amit Rohidas berjaya diselamatkan Hazrul Faiz.
Gol kemenangan mutlak Malaysia dijaringkan Muhamad Syamim Mohd Yusof pada minit ke-65 sekali gus meranapkan harapan India untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka pada edisi sebelum ini.
0 ulasan:
Catat Ulasan