Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Tugas berat Zulfahmi

Posted: 25 Oct 2012 02:48 PM PDT

PELUMBA Moto3 negara Muhammad Zulfahmi Khairuddin, yang berjaya meraih kedudukan kedua pada MotoGP Grand Prix Malaysia Ahad lalu, dijangka menghadapi tugas berat di GP Australia di Phillip Island, hujung minggu ini.

Namun begitu, Litar Phillip Island bukan sesuatu yang janggal bagi pelumba berusia 21 tahun itu kerana dia pernah bersaing sebanyak dua kali dalam kategori GP125cc di litar itu.


Bagaimanapun, dia hanya mampu menduduki tempat ke-20 tahun lalu dan gagal layak pada penampilan sulung pada 2010.

"Perlumbaan GP Australia adalah amat sukar dengan ciri litarnya agak ketat, pantas serta berangin...ia amat mencabar bagi pelumba," kata pelumba kelahiran Banting, Selangor itu, semalam.


Bermula hari ini hingga Ahad, Litar Phillip Island sepanjang 4,448 meter, yang mempunyai tujuh selekoh kiri dan lima kanan serta laluan lurus utama sepanjang 900 meter itu dianggap litar paling lancar dalam kalendar MotoGP dunia.


"Litar itu amat berbeza dengan Sepang. Sememangnya saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan keputusan yang terbaik," kata pelumba pasukan Team AirAsia-SIC-Ajo itu.

Zulfahmi berkata keutamaannya adalah untuk mempertahankan tempat ketujuh keseluruhan. Dia kini mempunyai 112 mata, 18 mata di depan Miguel Oliveira dari Sepanyol yang berada di belakangnya.


Berbaki dua pusingan dalam siri kejuaraan dunia musim ini, gelaran Moto3 dunia musim ini sudah dimenangi pelumba berusia 22 tahun dari Jerman, Sandro Cortese selepas mengumpul 280 mata apabila menjuarai GP Malaysia 2012.

Tempat kedua diduduki pelumba pasukan Kalex KTM, Luis Salom dari Sepanyol dengan 207 mata.


Sementara itu, baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit (SIC), Datuk Razlan Razali mengumumkan Zulfahmi ditawarkan untuk menunggang bagi pasukan berprestij Red Bull KTM Ajo Racing bagi musim depan.


Menurutnya tawaran kepada Zulfahmi itu adalah bagi mengisi tempat Cortese yang akan berlumba dalam kategori Moto2.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/26


‘Salah Mancini’

Posted: 25 Oct 2012 02:46 PM PDT

AMSTERDAM: Micah Richards meletakkan kesalahan kepada pengurus Roberto Mancini selepas kekalahan 1-3 Manchester City di tangan Ajax sehingga menyebabkan impian Liga Juara-Juara kelab itu semakin tertutup.

City tewas di Amsterdam Arena awal pagi semalam namun Richards berasakan kekalahan itu tidak dibantu dengan keputusan Mancini menukar strategi kepada tiga pemain pertahanan sewaktu pasukan pelawat itu ketinggalan 1-2 pada separuh masa kedua.


Tindakan itu dilakukan Mancini ketika perlawanan berbaki setengah jam, namun dalam tempoh lima minit Christian Eriksen meledak jaringan bagi memberikan kelebihan berganda buat Ajax dengan juara liga Inggeris itu gagal mempamerkan kebangkitan.

Secara tiba-tiba Mancini mengubah formasi dengan menggunakan empat pertahanan semula namun segala-galanya sudah terlewat.


Kekalahan itu menyebabkan City menghuni tempat tercorot Kumpulan D, ketinggalan enam mata di belakang pendahulu, Borussia Dortmund dan lima mata kepada Real Madrid ketika berbaki tiga perlawanan.


Bercakap kepada Sky Sports selepas wisel penamat, Richards berkata pemain City tidak selesa dengan perubahan taktikal pengurus mereka.

"Ia adalah sesuatu yang kami tidak selalu tekankan semasa latihan dan pada babak kedua kami melepaskan gol selepas menggunakan tiga pertahanan," kata pemain pertahanan kanan itu.


"Kami perlu membaikinya. Kami gembira untuk beraksi namun saya fikir pemain lebih gemar menggunakan empat pertahanan. Ia (tiga pertahanan) adalah kehendak pengurus." Ketika sidang media selepas perlawanan, Mancini jelas kecewa namun menolak andaian keputusan taktikal dilakukannya menyebabkan peluang City untuk bangkit tidak berhasil.

"Kami mengubah taktikal selama lima minit kerana mahu seorang pemain berada di kawasan lawan," katanya. "Namun di atas padang, kami sentiasa mempunyai 11 pemain.


"Jika ada pemain yang mahu menjadikannya sebagai alasan, ia OK namun itu bukan penyebabnya." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/26


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan