Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Tiada ‘permusuhan’

Posted:

Tiada 'permusuhan'

LONDON – Tidak akan berlaku 'permusuhan peribadi' pada pertemuan antara Chelsea dengan Manchester United dalam saingan Liga Perdana England di Stamford Bridge malam esok.

Demikian tegas pemain tengah Chelsea, John Obi Mikel semalam yang yakin pertemuan tersebut akan berjalan dengan lancar.

Malah, pemain kelahiran Nigeria itu percaya tonggak pertahanan United, Rio Ferdinand sudah membuka 'buku baharu' berhubung skandal perkauman kapten The Blues, John Terry terhadap adiknya, Anton.

Mikel berkata, United dan Chelsea sudah bersedia untuk memberikan aksi terbaik demi semangat kesukanan bola sepak di England.

"Sudah tiba masanya kita lupakan perkara itu dan buka buku baharu.

"Pertemuan ini berkait dengan bola sepak dan saya berpendapat, kami telah kehilangan semangat itu dalam kes skandal perkauman Terry.

"Memang benar, ada sebuah kisah di sebalik konflik itu tetapi saya berharap ia dapat dilupakan supaya penyokong-penyokong menikmati bola sepak dengan semangat kesukanan," ujar Mikel.

Kenyataan pemain berusia 25 tahun itu dilihat sebagai menyambut baik kunjungan skuad kendalian Alex Ferguson ke Stamford Bridge selain mahu melupakan skandal Terry menjelang pertemuan mereka di London.

Begitupun, Terry tidak dapat diturunkan selepas digantung empat perlawanan apabila didapati bersalah atas kesalahan menghina pemain pertahanan Queens Park Rangers (QPR), Anton Ferdinand.

Namun, Rio dijangka diturunkan pada aksi menentang The Blues dan Mikel memberitahu, bekas pemain Leeds United itu merupakan pemain pertahanan yang memiliki ketahanan mental yang kental dan berwibawa.

"Rio merupakan seorang pemain yang berani. Dia mengetahui cara untuk mengendali emosi dalam satu perlawanan besar seperti menentang Chelsea," katanya. – Agensi

Garrigus pimpin saingan

Posted:

Garrigus pimpin saingan

Oleh SHANIKA ABDULLATIB
shanika.latib@kosmo.com.my


GARRIGUS tampil cemerlang pada pusingan kedua semalam untuk mengambil alih kedudukan pendahulu.


BIARPUN menutup saingan dengan catatan bogey, Robert Garrigus tetap bangga apabila berjaya merampas kedudukan sebagai pendahulu pada hari kedua Kejohanan Golf CIMB Classic 2012 di The Mines Golf and Resorts, Seri Kembangan semalam.

Pada aksi pusingan kedua semalam, pemain dari Amerika Syarikat itu berjaya mengutip tujuh pukulan bawah par 64.

Bermula agak perlahan dengan beberapa catatan par di awal saingan, Garrigus mula mendapat rentak ketika mengharungi lubang ketujuh yang menyaksikannya mencatat birdie.

Permainan agresif Garrigus berjaya membuahkan lapan birdie berturut-turut di lubang ketujuh, lapan dan sembilan serta lubang ke-12 dan ke-13.

"Saya mendahului dengan dua mata sekarang dan ia tidak memberi apa-apa makna. Saya mungkin pendahulu hari ini (semalam) tetapi pada hari Ahad, kedudukan saya mungkin akan berubah.

"Jadi, masih terlalu awal untuk memperkatakan walaupun saya gembira dengan corak permainan saya hari ini (semalam)," katanya yang pernah menjadi pendahulu saingan sebanyak dua kali dengan kali terakhir pada 2011 di Hyundai Tournament of Champions.

"Paling utama, saya mahu menikmati permainan saya sepanjang empat hari ini dengan penuh selesa. Biarpun saya tidak bermain dengan baik, saya tidak akan kecewa kerana itu adalah sifat saya," tambah pemain berusia 34 tahun itu.

Pemain kelahiran Idaho itu juga menyifatkan, kejayaannya sebagai pendahulu selepas mengharungi dua pusingan dibantu dengan corak permainan yang agak agresif serta keadaan lapangan golf yang cukup menyenangkannya.

"Saya pernah bermain dengan Rory McIlroy serta Tiger Woods dalam beberapa kejohanan sebelum ini. Berdasarkan pengalaman tersebut, saya perlu mengekalkan rentak permainan saya sendiri.

"Mungkin kekuatan saya hari ini (semalam) adalah pada putting. Saya lakukannya cukup baik dan ia memberi keyakinan di mana saya boleh menewaskan pemain lain," katanya yang akan bergandingan dengan Jbe Kruger pada aksi pusingan ketiga hari ini.

Sementara itu, Troy Matteson yang mendahului saingan pada hari pertama, terpaksa berpuas hati dengan catatan dua pukulan bawah par 69 semalam.

Siapa pilihan Selangor?

Posted:

Siapa pilihan Selangor?

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

TEKA-TEKI berhubung siapa penyerang import baharu Selangor masih belum terjawab.

Sebelum ini, jodoh penyerang import, Bosko Balaban dilihat seakan-akan sudah pun ternoktah gara-gara dikatakan enggan memperbaharui kontraknya bersama skuad Gergasi Merah itu musim depan.

Disebabkan itu, nama beberapa penyerang import mula meniti di bibir peminat fanatik Selangor biarpun masa depan Balaban masih belum diputuskan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Antara yang dikaitkan bakal menjadi mesin pencetak gol baharu Gergasi Merah musim depan termasuklah peledak Terengganu, Francis Forkey Doe.

Penyerang kebangsaan Vietnam, Le Cong Vinh juga antara calon-calon yang disebut menerajui jentera serangan Selangor musim depan.

Kredibiliti Forkey Doe sememangnya tidak boleh dipertikai berdasarkan reputasinya yang muncul penjaring terbanyak Liga Super musim ini dengan 15 gol.

Nama Cong Vinh juga bukan asing buat peminat bola sepak tempatan apabila meledak satu gol semasa membantu Vietnam menewaskan Harimau Malaya 2-0 dalam satu aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, 11 September lalu.

Jika kehadiran Cong Vinh ke Selangor menjadi kenyataan, ia pastinya mengimbau sejarah lalu buat Gergasi Merah yang pernah mendapat sentuhan penyerang import dari rantau Asia Tenggara sebelum ini iaitu Bambang Pamungkas dari Indonesia.

Pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim begitupun sebelum ini bersikap 'mengunci mulut' berhubung perkara itu.

"Memang ada beberapa pemain yang berkenan, tetapi masih terlalu awal untuk didedahkan kepada umum.

"Pendek kata, biarlah FAS yang mengumumkan siapa pemain baharu Selangor musim depan," kata Irfan Bakti sebelum ini.

Terdahulu, Selangor yang kempunan mendakap sebarang piala musim ini dikatakan bakal membuat rombakan besar-besaran musim depan.

Antara bintang yang dikatakan bakal meninggalkan Selangor termasuklah 'pakar sepakan percuma', Safiq Rahim yang dikhabarkan menyertai Johor sementara penyerang veteran, Amri Yahyah juga dikatakan 'bertukar angin' menyertai Selangor PKNS musim depan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan