Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Gol dramatik Hernandez

Posted: 29 Oct 2012 09:46 AM PDT

LONDON: Javier Hernandez yang masuk sebagai pemain gantian menyumbang gol kemenangan kontroversi ketika Manchester United menundukkan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Chelsea selepas tuan rumah hanya beraksi dengan sembilan pemain pada perlawanan yang cukup sengit, awal pagi semalam.

Pemain antarabangsa Mexico itu yang dilihat berada pada kedudukan ofsaid, menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-75 sekali gus membunuh semangat kebangkitan Chelsea yang pada satu ketika ketinggalan 0-2 sebelum Branislav Ivanovic dan Fernando Torres dibuang padang oleh pengadil, Mark Clattenburg ketika perlawanan berbaki 30 minit.


Hukuman ke atas Torres yang dikatakan sengaja menjatuhkan diri, mencetuskan pertengkaran antara pengurus Chelsea, Roberto Di Matteo dan rakan sejawatnya di United, Alex Ferguson yang kemudian berkata, pemain antarabangsa Sepanyol itu sememangnya patut dibuang padang meskipun ulang tayang video menunjukkan dia dikasari.

Clattenburg kemudian menerima bantahan daripada Chelsea kerana menggunakan bahasa yang tidak sesuai kepada dua pemain mereka.


Jaringan sendiri Daivd Luiz meletakkan United di depan seawal minit keempat dan Robin van Persie menambah derita tuan rumah dengan gol kedua sekali gus jaringan peribadi ketujuhnya setakat ini.


Chelsea bagaimanapun kembali bangkit menerusi sepakan percuma Juan Mata dan tandukan Ramires pada separuh masa kedua sekali gus menyaksikan United diikat seketika hinggalah Ivanovic dibuang padang selepas sejam permainan kerana menjatuhkan Ashley Young.

Situasi Chelsea bertambah buruk lima minit kemudian selepas Torres turut dibuang padang kerana mengasari Jonny Evans sekali gus menerima kad kuning kedua.


Ketika penyokong tuan rumah berang dengan situasi semasa yang tidak memihak pasukan mereka, Hernandez yang menggantikan Tom Cleverley, merembat bola hantaran Rafael ketika berada di posisi ofsaid berhampiran garisan gol.

Kemenangan pertama United di Chelsea sejak 10 tahun itu menyaksikan mereka kembali mengatasi jiran setempat, Manchester City di tangga kedua dengan kelebihan perbezaan gol dan berkongsi 21 mata, ketinggalan satu mata berbanding Chelsea.


"Sudah tentu kami amat kecewa kerana keputusan pengadil yang tidak tepat.


"Ketika seri 2-2, kami nampak lebih berkeyakinan untuk menang perlawanan ini. Ia sebenarnya perlawanan yang bagus antara dua pasukan yang hebat tapi pengadil memusnahkan segala-galanya.


"Keputusan yang dilakukan perlu betul dan sudah tentu kami tidak mahu pengadil dilihat lebih berat sebelah terhadap sesebuah pasukan," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/30


Higuain, Ronaldo belasah Mallorca

Posted: 29 Oct 2012 09:41 AM PDT

MADRID: Gonzalo Higuain dan Cristiano Ronaldo masing-masing meledak dua gol untuk membantu Real Madrid membelasah Mallorca 5-0 awal pagi semalam lantas memberi tekanan kepada pasukan di tangga teratas La Liga.

Jose Callejon menghasilkan gol kelima untuk Real kekal di tangga keempat, satu mata di belakang Malaga di tangga ketiga dan lapan mata di belakang peneraju liga, Barcelona yang menewaskan Rayo Vallecano 5-0 kelmarin dan pasukan di tempat kedua, Atletico Madrid.


Ronaldo kini menjaringkan gol dalam lapan perlawanan berturut-turut buat Madrid dengan mengumpul 14 gol dengan 11 daripadanya dalam liga.

Sementara itu, Radamel Falcao mencipta gol ke-10 liga ketika Atletico Madrid menumpaskan Osasuna 3-1 bagi menyamakan mata dengan Barca.


"Musim lalu kami pernah memiliki kelebihan 10 mata dan kami masih menyatakan bahawa saingan liga masih terbuka, jadi kami harus berfikiran sama dan terus mengutip mata," kata jurulatih Real Madrid, Jose Mourinho.


"Malam ini (semalam) sangat penting kerana ia perlawanan paling sukar dalam kempen musim ini tapi kami bukan hanya mengejar Barca, Atletico juga memiliki kelebihan besar tapi akan terus memberi tentangan." Atletico terus bersaing dengan Barca di tangga teratas selepas kelab Catalan itu mencatat kemenangan 5-0 ke atas Rayo Vallecano dalam aksi 24 jam lebih awal.

Mereka mempamerkan permainan meyakinkan di Vicente Calderon untuk merekod kemenangan 12 berturut-turut dalam semua pertandingan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/30


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan