Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


City perlu menang

Posted:

City perlu menang

DZEKO (kiri) bakal mengetuai jentera serangan City pada aksi Kumpulan D menentang Ajax awal pagi esok.


AMSTERDAM – Manchester City tidak mempunyai pilihan selain menewaskan Ajax Amsterdam pada aksi Kumpulan D kempen Liga Juara-Juara di Amsterdam Arena awal pagi esok.

Tiga mata penuh perlu dibawa pulang skuad kendalian Roberto Mancini itu jika tidak mahu kekecewaan musim lalu berulang apabila mereka gagal melepasi saingan peringkat kumpulan.

Dilabel sebagai 'kumpulan maut', City kini menghuni tangga ketiga carta Kumpulan D apabila mengumpul satu mata, lima mata di belakang Real Madrid selaku pendahulu dan tiga mata di belakang Borusia Dortmund yang menghuni tangga kedua.

City memulakan kempen musim ini dengan hambar apabila tewas 2-3 kepada Real sebelum sekadar seri 1-1 dengan Dortmund.

Biarpun Ajax merupakan juara Liga Belanda namun kelab itu dilabel sebagai pasukan paling lemah dalam Kumpulan D dan City berharap dapat menggunakan kelebihan itu bagi mencatatkan kemenangan.

Namun, ia dianggap masih belum memadai kerana berdasarkan rekod City musim lalu, skuad The Citizen yang diundi bersama-sama Napoli, Villarreal dan Bayern Munich tetap gagal layak ke pusingan kalah mati biarpun mengumpul 10 mata.

City dilihat mendapat tonik terbaik sebelum berdepan Ajax apabila mereka mempamerkan aksi konsisten selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan West Bromich Albion 2-1 dalam saingan Liga Perdana England, Sabtu lalu.

City yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas James Milner dilayangkan kad merah, memperoleh gol kemenangan menerusi dua jaringan penyerang Bosnia Herzegovina, Edin Dzeko.

Berdasarkan aksi konsistennya itu, Dzeko berharap dapat diturunkan dalam kesebelasan utama pada pertemuan dengan Ajax.

"Dzeko tidak akan kekal sebagai pemain gantian sahaja kerana dia juga akan diberi peluang untuk berada dalam kesebelasan utama seperti mana yang diberikan kepada pemain-pemain lain.

"Kami memiliki 24 pemain dan empat daripadanya kini menjalani proses pemulihan akibat kecederaan. Jadi, kami hanya mempunyai 20 pemain sahaja untuk disenaraikan.

"Dzeko yang masuk sebagai pemain gantian (ketika menentang West Bromich) berjaya menjaringkan dua gol. Ia sekali gus meletakkan namanya sebagai pilihan utama pengurus (Mancini) untuk diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Ajax.

"Kami memilih kesebelasan utama berdasarkan keperluan bagi menentang Ajax," kata penolong jurulatih City, David Platt.

City dijangka kehilangan khidmat perancang utama, David Silva yang mengalami kecederaan hamstring selain Maicon (kaki), Jack Rodwell (hamstring) dan Javi Garcia (paha).

– AFP

Danny tampil positif

Posted:

Danny tampil positif

Oleh SHANIKA ABDULLATIB
shanika.latib@kosmo.com.my

DANNY Chia akan menggalas cabaran negara pada Kejohanan Golf CIMB Classic yang bermula di The Mines Resorts & Golf Club esok.


PEMAIN golf berpengalaman negara, Danny Chia tampil positif bagi menghadapi edisi ketiga Kejohanan Golf CIMB Classic 2012.

Bukan itu sahaja, keyakinan pemain berusia 39 tahun itu untuk mendapat peluang bersaing bersama pemain No. 2 dunia, Tiger Woods tetap tinggi.

"Segalanya bergantung kepada nasib dan keadaan. Sekiranya saya bermain dengan baik, tidak mustahil untuk saya beraksi dengan Woods.

"Saya bermain dalam banyak kejohanan yang turut disertainya (Woods) tetapi peluang untuk bermain bersama belum tiba. Siapa tahu, kali ini giliran saya," kata bekas juara Jelajah Asia Terbuka Taiwan 2002 itu.

Tambahnya lagi, dia banyak mengutip pengalaman daripada setiap kejohanan yang disertainya selama ini, terutamanya kejohanan yang membariskan pemain terbaik dunia.

"Tahun lalu, pada kejohanan ini saya bermain dengan pemain berbeza setiap hari. Banyak yang saya pelajari terutama dari aspek pukulan, kawalan, strategi penggunaan kayu golf serta pelbagai lagi yang melibatkan aspek teknikal.

"Saya belajar sesuatu yang hanya boleh diperoleh menerusi kejohanan besar dan itu cukup bernilai," katanya yang beraksi buat kali kedua pada Kejohanan CIMB Classic.

Chia menempah tiket ke kejohanan yang bermula pada 25 hingga 28 Oktober itu nanti selepas melakar kemenangan pada kejohanan Kelayakan Kebangsaan Sapura yang diadakan bulan lalu.

Pada aksi tersebut, Chia meraih pukulan terbaiknya dengan mencatat keseluruhan sembilan bawah par 204, dua pukulan mengatasi Mohamad Azman yang sebelum itu mendahului saingan.

Sementara itu, Chia yang ditemui pada sesi latihan bebas menyatakan, keadaan lapangan golf The Mines Resort & Golf Club yang akan menjadi medan persaingan selama empat hari itu amat digemarinya.

"Keadaannya memang mencabar tetapi peluang melakukan birdie dan mendapat mata yang rendah cukup besar. Cuma perlu bijak memilih corak pukulan.

"Lebih penting, keadaan padang juga lebih baik berbanding tahun lalu," katanya yang kini berlatih bawah bimbingan Steven Giuliano.

"Saya masih yakin dengan corak putting saya dan ia akan membantu saya untuk berada dalam kelompok 10 terbaik. Itu azam saya," tambahnya.

Cabaran buat beregu No. 2 negara

Posted:

Cabaran buat beregu No. 2 negara

Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my

ZAKRY (kanan) dan Fairuzizuan turut beraksi pada pusingan pertama hari ini.


BEREGU lelaki negara, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong perlu menewaskan pasangan No. 2 dunia, Mathias Boe-Carsten Mogensen dari Denmark.

Itu harapan yang diletakkan ketua jurulatih beregu negara, Tan Kim Her kepada pasangan tersebut pada Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Perancis 2012 yang bermula semalam.

Thien How-Wee Kiong akan memulakan cabaran pada kejohanan yang berlangsung di Paris, Perancis itu menentang beregu Jerman, Peter Kaesbauer-Josche Zurwonne pada aksi pusingan pertama hari ini.

Bagaimanapun, tugas sukar menanti mereka kerana dijangka menentang Boe-Mogensen jika mara ke pusingan kedua.

Boe-Mogensen yang turut memulakan aksi hari ini diramal tidak berdepan halangan sukar untuk menewaskan beregu Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiwan dan sekali gus melangkah ke pusingan kedua.

Justeru, Kim Her mahu anak didiknya itu bersiap sedia dari aspek mental dan fizikal bagi menewaskan Boe-Mogensen seandainya kedua-dua pasangan tersebut berjumpa pada pusingan kedua.

"Saya mahu mereka menang jika berdepan Boe-Mogensen. Jika berjaya, ia sudah pasti akan meningkatkan tahap keyakinan mereka bagi meneruskan saingan pada pusingan seterusnya nanti.

"Memang sukar tetapi bukan mustahil. Berdasarkan prestasi semasa, saya percaya Thien How-Wee Kiong boleh melakukannya," kata Kim Her ketika dihubungi Kosmo! kelmarin.

Menurut beliau, ia merupakan peluang terbaik buat Thien How-Wee Kiong untuk mencipta kejutan ke atas jaguh beregu dunia itu.

"Biarpun ada kalanya mereka bergelut dengan prestasi tidak menentu tetapi mereka menunjukkan corak permainan yang konsisten. Saya percaya jika mereka terus mempamerkan peningkatan, mereka boleh memperbaiki ranking dunia.

"Ini adalah masa yang terbaik untuk membuktikan kemampuan mereka," jelas Kim Her.

Ketika ini, Thien How-Wee Kiong merupakan beregu kedua terbaik negara apabila menghuni ranking No. 20 dunia di belakang gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang menghuni tangga keenam.

Kien Keat-Boon Heong yang muncul naib juara Terbuka Denmark, Ahad lalu turut memulakan aksi hari ini menentang pemain kelayakan.

Dua beregu profesional negara, Mohd. Zakry Abdul Latif-Mohd. Fairuzizuan Mohd. Tazari dan Ong Soon Hock-Gan Teik Chai turut beraksi hari ini.

Soon Hock-Teik Chai turut memperlihatkan kematangan kebelakangan ini selepas muncul naib juara Terbuka Belanda dua minggu lalu.

Zakry-Fairuzizuan akan menentang beregu England, Chris Adcock-Andrew Ellis manakala Teik Chai-Soon Hock berdepan pilihan ketujuh, Bodin Issara-Maneepong Jongjit dari Thailand.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan