Kosmo Online - Sukan |
Posted: Karim lawan KOM
BEKAS Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim nampaknya masih tidak berpuas hati dengan keputusan badan induk sukan olahraga negara itu menggantung beliau selama enam tahun. Semalam, Karim mengesahkan bahawa peguamnya telah menghantar surat kepada KOM dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bulan lalu bagi mempersoalkan laporan yang dibuat terhadap beliau hasil siasatan pada Jun dan Julai lalu. "Peguam saya sudah menghantar surat kepada KOM dan MOM. Namun, sama ada mereka (KOM dan MOM) sudah memberi maklum balas atau tidak saya tidak pasti kerana saya baru pulang dari luar negara. "Saya menyerahkan kepada peguam saya untuk mengambil tindakan selanjutnya. "Jika perlu saya akan membawa kes ini ke mahkamah. Saya akan mengadakan sidang akhbar khas. Kita tunggu dan lihat sahaja. "Saya memang tidak berpuas hati dengan laporan siasatan itu dan saya mahu membersihkan nama saya. Apa yang saya boleh katakan ialah wujud konspirasi untuk menjatuhkan saya ketika sesi pendengaran dijalankan," kata Karim ketika dihubungi Kosmo! semalam. Pada 11 Oktober lalu, KOM telah membuat keputusan untuk menggantung Karim selama enam tahun. Keputusan itu dibuat selepas mendapati Karim bersalah berdasarkan laporan yang diterima badan induk itu daripada jawatankuasa siasatan yang diketuai oleh bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Tan Sri V. C. George. Jawatankuasa itu menjalankan siasatan terhadap petisyen setebal 23 muka surat yang bertajuk Laporan Jurulatih dan Atlet Olahraga Kebangsaan kepada bekas Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim pada 13 Februari lalu. Petisyen yang ditandatangani oleh 42 atlet dan 16 jurulatih olahraga negara itu meminta KOM menyingkirkan Karim yang didakwa sebagai dalang utama terhadap segala masalah yang menimpa KOM sebelum ini. Sementara itu, Pemangku Pengurus Besar KOM, Anthony Samy Silvarajoo mengesahkan bahawa badan induk itu telah menerima surat daripada peguam Karim bulan lalu. "Ya, memang kita ada menerimanya dan kami (KOM) juga telah memberikan maklum balas terhadap surat itu. Karim menyuarakan rasa tidak puas hatinya dengan beberapa perkara dalam laporan siasatan itu. "Namun, kami sudah memberi penjelasan kepada beliau menerusi surat yang dihantar kepada peguamnya bahawa segala keputusan yang dibuat adalah berdasarkan peraturan," jelas Anthony. | |
Posted: Mampu mantap prestasi atletRATU terjun negara, Pandelela Rinong Pamg menyifatkan kehadiran dua jurulatih baharu dalam skuad terjun negara dari China akan memperkasakan lagi persiapan mereka bagi menghadapi Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil pada 2016. Beliau percaya pengalaman kedua-dua jurulatih tersebut mampu membantu memantapkan skuad negara yang kini dibawah kendalian ketua jurulatih, Yang Zhuliang. "Kehadiran mereka dalam skuad terjun memang tepat pada masanya. Selain dapat membantu skuad negara, mereka turut membantu mengurangkan beban tugas yang digalas oleh ketua jurulatih Yang Zhuliang dan pembantunya Zhang Yikun. Saya harap mereka berdua dapat cepat sesuaikan diri dengan suasana di Malaysia," katanya kepada pemberita di Kuching, Sarawak semalam. Pandelela turut yakin prestasi skuad negara akan bertambah baik dan menyeru rakan-rakan dalam skuad terjun terutama penerjun pelapis untuk menimba sepenuh pengalaman dan ilmu yang dimiliki oleh kedua-dua jurulatih itu. Selepas ketua jurulatih Yang Zhuliang bersetuju menyambung kontrak selama dua tahun lagi, Majlis Sukan Negara (MSN) telah melantik dua lagi jurulatih baharu iaitu Wu Minghong dan Pan Zhaowei yang dicadangkan sendiri oleh ketua jurulatih itu. Kedua-dua jurulatih baharu tersebut akan berkhidmat secara kontrak selama dua tahun. Mengulas mengenai Yang Zhuliang yang telah setuju menyambung kontrak, Pandelela berterima kasih kepada usaha MSN mengekalkan jurulatih yang telah banyak membantu kejayaan skuad terjun negara. | |
Posted: Guiza ikat kontrak setahunOleh MAZLINA ABDUL MAJID GUIZA (kanan) mengikat kontrak setahun bersama Johor. BEKAS pemain Kelab La Liga Sepanyol, Daniel Gonzales Guiza, 32, menandatangani kontrak selama setahun dengan Johor semalam. Menurut Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Suhairi Hashim, satu majlis khas menandatangani kontrak pemain handalan dunia itu telah berlangsung secara tertutup di sebuah hotel di Johor Bahru pada tengah hari semalam. Ia disaksikan oleh Presiden PBNJ, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Pengurus pasukan, Fandi Ahmad. Berhubung nilai bayaran kontrak dan gaji yang diterima oleh bekas pemenang Kasut Emas ketika bersama pasukan Real Mallorca dalam saingan Liga Sepanyol pada musim 2008 itu, Suhairi enggan mengulas lanjut. "Mengenai soal nilai pembayaran kontrak termasuk gaji yang diterimanya, kita tidak boleh dedahkan dan ia adalah rahsia," katanya kepada Kosmo!. Semalam Kosmo! melaporkan Guiza yang menjadi pemain import baharu Johor memasang matlamat untuk memburu Kasut Emas dalam saingan liga tempatan musim depan. Bekas pemain Real Mallorca dan La Roja itu turut berazam untuk menjaringkan gol pada setiap perlawanan dan mahu muncul sebagai penjaring terbanyak. Kehadiran Guiza dijangka bakal mengembalikan semula kegemilangan pasukan Johor lebih-lebih lagi apabila dia digandingkan dengan pemain berbisa tempatan seperti Mohd. Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abd. Radzak, Azmi Muslim dan Safiq Rahim. Tambah Suhairi, mengikut syarat dalam perjanjian kontrak, pemain antarabangsa seharusnya menjalani latihan pada 1 Disember ini. "Bagaimanapun, Tunku Ismail memberi pelepasan kepadanya untuk menyambut Krismas di Sepanyol," ujar beliau lagi. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan