Sukan
SAFEE dihalang pemain Pilihan Singapura, Hafiz Rahim pada perlawanan Piala Sultan Selangor di Stadium Shah Alam, malam tadi. Pilihan Selangor tewas 0-1.
Gol sendiri jadi pemusnah, Singapura kekal Piala Sultan Selangor Pilihan Selangor 0
Pilihan Singapura 1
(Asraruddin Putra Omar, gs m-65)
MISI Selangor untuk membalas dendam kekalahan skuad kebangsaan terhadap Singapura pada Kelayakan Piala Dunia 2014 Julai lalu, tidak kesampaian apabila tewas 0-1 hasil jaringan sendiri Asraruddin Putra Omar pada aksi Piala Sultan Selangor 2011 di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Ia turut memusnahkan hajat Selangor menyekat penguasaan Singapura yang kini muncul juara buat kali keenam (termasuk juara bersama edisi 2004) dan kejuaraan hatrik selepas menang pada 2009 (3-0) dan tahun lalu (6-0).
Selangor kendalian P Maniam turun dengan diperkuat dua bekas pemain Liverpool dan Manchester United, Jason McAteer dan Jesper Blomqvist serta penyerang Pelita Jaya, Safee Sali manakala Singapura bimbingan Radojko Avramovic tanpa tiga tonggak - Mustafic Fahrudin, Hariss Harun dan Qiu Li.
Babak pertama lebih menyaksikan kecemerlangan penjaga gol Selangor, G Jeevananthan menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya Singapura termasuk menepis rembatan Hafiz Rahman pada minit ke-34.
Pada awal babak kedua, kapten Selangor, Amri Yahyah mempersiakan dua peluang di depan gol pada minit ke-46 dan 50 ketika hanya berdepan penjaga gol Singapura, Izwan Mahbud yang masuk menggantikan Lionel Lewis selepas waktu rehat.
Gawang Selangor bocor pada minit ke-65 apabila Asrarudin tertanduk sepakan sudut kapten Singapura, Shahril Ishak ke gawang sendiri.
Pada minit ke-80, gol penyamaan Selangor dibatalkan pengadil selepas Amri didakwa menggunakan tangan untuk menguis masuk bola sepakan sudut Hardi Jaafar.
0 ulasan:
Catat Ulasan