Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


‘Di mana salah saya...’

Posted: 28 Mar 2012 10:18 AM PDT

"SAYA akan pergi bukan sebagai tertuduh, tapi untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai Timbalan Presiden FAM," jelas Tan Sri Annuar Musa mengulas kesediaannya untuk menghadiri perbicaraan kesnya Rabu ini.

Katanya, beliau sedia untuk menghadap Jawatankuasa Disiplin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas permohonan menangguhkan perbicaraan dua pertuduhan ke atasnya kerana mengkritik secara terbuka prestasi skuad kebangsaan diterima jawatankuasa itu kelmarin.


"Saya sudah dimaklumkan penangguhan itu, InsyaAllah saya akan hadir. Saya akan memberi kerja sama sepenuhnya. Saya juga sedia memberi penjelasan dan ingin tahu di mana salah saya. "Tanggungjawab saya sebagai Timbalan Presiden untuk mengetahui jika ada sebarang percanggahan mengenai tafsiran ini supaya boleh dibawa ke Kongres FAM untuk dibetulkan," katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Kenyataan yang dikeluarkan Annuar mengenai prestasi semasa skuad kebangsaan kendalian Datuk K Rajagobal ketika ditanya pemberita selepas Bengkel Pemasaran dan Pembangunan Penyokong Kelab anjuran Malaysia Super League Sdn Bhd (MSL) di Shah Alam 13 Mac lalu mengundang padah apabila Jawatankuasa Disiplin yang dipengerusikan Datuk Taufek Abdul Razak mengemukakan dua pertuduhan ke atasnya.


Bagaimanapun jawatankuasa itu kelmarin bersetuju menangguhkan perbicaraan selepas menerima permohonan Annuar yang terikat dengan majlis bersama Kada (Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu) hari ini.


Pada mesyuarat jawatankuasa itu, Taufek turut mengumumkan tidak ada sebarang dakwaan dikenakan ke atas Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad yang dilapor turut membuat kenyataan terhadap kegagalan skuad Olimpik negara pada aksi kelayakan Olimpik pada 16 Mac lalu.

Untuk rekod, terdapat dua kes sebelum ini membabitkan bekas Naib Presiden FAM, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar yang digantung tiga tahun pada 1991 manakala Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Mohd Akil pula digantung dua kali pada 2001 (empat tahun) dan 2006 (setahun) kerana mengkritik FAM.


Sementara itu, Annuar yang juga pengerusi MSL turut ditanya mengenai peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif jabatan itu, Stuart Ramalingam hujung bulan lalu yang dikatakan berpunca daripada keretakan hubungan antara mereka.

"Saya sudah dimaklumkan, saya tidak mahu membuat sebarang kenyataan lanjut buat masa ini tetapi apa yang boleh saya nyatakan peletakan jawatan Stuart tidak ada kena mengena dengan saya," katanya.



Makin lumayan

Posted: 28 Mar 2012 10:14 AM PDT

KINI berusia tujuh tahun, Karnival Futsal Harian Metro terus mendapat sokongan padu peminat sukan futsal tempatan apatah lagi habuannya kini makin lumayan.

Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar berkata, sejak diperkenal enam tahun lalu, karnival ini dinantikan pembaca setia Harian Metro bersandarkan perubahan yang dibawa penganjur dari masa ke semasa.


"Tahun ini, seperti yang dimaklumkan, kami membawa perubahan dalam bentuk ganjaran hadiah wang tunai dengan hadiah keseluruhan lumayan menanti mereka di peringkat Zon dan Grand Final.

"Peningkatan hadiah tidak hanya terhad kepada Karnival Futsal kerana kami turut menaikkan ganjaran bagi Karnival Bola Jaring yang buat kali pertama mempraktikkan konsep sama seperti futsal dengan empat pasukan teratas setiap zon akan beraksi di Grand Final," katanya pada Majlis Pelancaran Karnival Futsal Harian Metro dan Bola Jaring, semalam. Turut mengiringi, Pengerusi Karnival serta Pengarang Sukan Harian Metro, Mohd Radzi Wahab.


Hadir sama, Ketua Hal Ehwal Korporat Kumpulan, Kumpulan Ambank, Syed Anuar Syed Ali, Pengurus Besar Pemasaran Yeo's, Vincent Chui, Pengurus Besar Asia Pasific Lancast, Yau Chee Keong dan Ketua Pegawai Ekskutif Sani Ekspress Sdn Bhd, Mejar (B) Abu Bakar Mohammad.


"Kami juga berbesar hati kerana karnival yang memasuki edisi ketujuh ini sekali lagi mendapat kerjasama Kumpulan AmBank selaku penaja utama buat musim kedua berturut-turut." Baginya, kejohanan ini tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa kehadiran penaja, Lancast untuk pakaian rasmi, Yeo's bagi minuman rasmi serta Sani United Bhd (Sani Express) yang menyediakan pengangkutan urusetia.

Musim ini, juara peringkat zon akan membawa pulang wang tunai lebih lumayan, iaitu penambahan RM1,000 bagi setiap kategori dengan juara Terbuka Lelaki menerima RM6,000 manakala Terbuka Wanita RM4,500 dan Lelaki Bawah 17 RM3,500. Hadiah lumayan juga menanti juara Grand Final iaitu RM20,000 diperuntukkan untuk Terbuka Lelaki, RM12,000 (Terbuka Wanita) dan RM10,000 (Lelaki Bawah 17).


Peningkatan hadiah ini tidak terhad kepada Karnival Futsal saja malah peserta Karnival Bola Jaring turut menerima habuan lumayan.

Bagi peringkat zon, juara membawa pulang RM2,000, naib juara RM1,000 dan ketiga dan keempat masing-masing RM500. Semuanya mempunyai peningkatan berbanding tahun lalu.


Justeru, Mustapa berkata, penganjur meletakkan sasaran peningkatan penyertaan di zon berikutnya selepas Zon Tengah membuka tirai Sabtu dan Ahad ini.



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan