Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


‘Saya akan terima’

Posted:

'Saya akan terima'

'Saya akan terima'

"APA sahaja hukuman yang bakal saya hadapi saya akan terima tetapi jangan tidak berlaku adil kerana saya Timbalan Presiden kelas kedua."

Demikian reaksi Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa yang bersedia untuk menerima apa sahaja keputusan yang akan diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib persatuan itu selepas pendengaran kes 4 April ini.

Bagaimanapun, menurutnya, keputusan yang bakal dibuat itu tidak boleh terhenti begitu sahaja kerana ia melibatkan kesamaran undang-undang yang memerlukan keputusan kongres bersama-sama dengan ahli gabungan untuk memperjelaskannya.

Katanya, beliau akan menghadiri pendengaran kes tersebut bersama-sama dengan orang yang arif dengan peraturan persatuan tersebut untuk membantunya mempertahankan diri.

"Saya akan menghadiri pendengaran tersebut dengan bantuan orang yang lebih arif dalam persatuan sebab saya hanya orang biasa, saya memerlukan bantuan orang yang lebih tahu tentang selok belok persatuan.

"Isu ini bukan saja melibatkan bentuk hukuman. Saya ialah ahli jawatankuasa pentadbir, bila timbul tafsiran berbeza antara Jawatankuasa Tatatertib dengan pembuat dasar ia tidak boleh berhenti begitu sahaja, kita perlu betulkan dalam kongres," katanya ketika ditemui semalam.

Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah sebelum ini dilaporkan bertitah, Annuar akan dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin badan induk bola sepak negara pada 4 April ini kerana didakwa secara terbuka mengkritik prestasi skuad kebangsaan di bawah kendalian Datuk K. Rajagobal dalam media.

Baginda bertitah, Annuar perlu berdepan dengan jawatankuasa itu kerana tindakannya ternyata melanggar peraturan badan induk bola sepak negara kerana apa yang dilakukannya merupakan satu kesalahan yang amat besar.

Sementara itu, Annuar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) turut menyifatkan keputusan yang mengheretnya ke Jawatankuasa Tatatertib agak meragukan kerana ia dibuat tanpa memberi surat tunjuk sebab terlebih dahulu dan dibincangkan di peringkat Exco.

Katanya, ada 'orang tertentu' yang membuat keputusan untuk mengheretnya ke jawatankuasa tersebut tanpa dibincangkan terlebih di peringkat eksekutif.

"Saya tidak kisah kalau orang yang hendak 'menyaman' saya itu (kedudukan) lebih rendah kerana dalam persatuan akan timbul perkara seperti ini dan keputusan (membawanya ke jawatankuasa tatatertib) itu dibuat ketika Presiden dan saya sebagai Timbalan Presiden berada di luar negara.

"Saya ada sikit perbezaan pendapat (dalam isu tersebut), sepatutnya saya diberi surat tunjuk sebab dahulu dan Exco memutuskan dahulu sebelum dibawa kepada lembaga disiplin. Sejak kongres FAM terakhir hanya ada empat mesyuarat Exco dan saya sekarang sedang menulis surat dan berharap lebih banyak mesyuarat diadakan kerana saya ada banyak perkara yang ingin disampaikan," jelasnya.

Kekuatan mental jadi keutamaan

Posted:

Kekuatan mental jadi keutamaan

Kekuatan mental jadi keutamaan

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my


KIM SWEE (kanan) lebih mengutamakan kekuatan mental pemain menjelang aksi menentang Singapore Armed Forces, Ahad ini.


KEKUATAN mental pemain Harimau Muda dilihat menjadi keutamaan pengendalinya, Ong Kim Swee menjelang pertemuan menentang Singapore Armed Forces dalam aksi Liga Singapura (Liga S) di Stadium Choa Chu Kang, Ahad ini.

Kejayaan menewaskan Courts Young Lions dengan keputusan 3-1 di Stadium Yishun, Ahad lepas jelas menjadi tonik utama skuadnya dalam usaha mengekalkan rekod kebal tanpa kalah dalam saingan Liga S setakat ini.

Malah, kredibiliti Armed Forces yang dibarisi beberapa pemain import juga tidak menghadirkan rasa gerun di hati Kim Swee kerana yakin dengan kemampuan anak-anak buahnya dalam usaha memburu tiga mata berharga.

"Pada aksi menentang Young Lions sebelum ini, pemain saya dilihat tidak mudah menyerah kalah meskipun ketinggalan pada suatu ketika.

"Bagi saya, semangat juang yang ditunjukkan pemain Harimau Muda ketika itu adalah satu perkembangan yang positif dan ia perlu diteruskan dalam perlawanan akan datang.

"Saya yakin pasukan kita berada di trek yang betul untuk mencapai sasaran menamatkan saingan Liga S di tangga kelima musim ini," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Harimau Muda yang mengumpul 11 mata hasil tiga kemenangan dan dua seri sebelum ini kini hanya ketinggalan satu mata di belakang peneraju liga, Home United yang begitupun beraksi lebih satu perlawanan.

Selain menang ke atas Young Lions, skuad muda negara juga berjaya menewaskan Gombak United 2-0 dan Tanjung Pagar United 3-0 selain seri ketika menentang Albirex Niigata 0-0 serta Brunei DPMM 1-1. Armed Forces kini di tangga kelapan liga dengan tujuh mata.

Selepas menentang Armed Forces, tugas lebih getir menanti anak-anak buah Kim Swee apabila dijadualkan berdepan Home United di gelanggang sendiri pada 8 April ini.

Dalam perlawanan Ahad ini, Kim Swee dijangka menggunakan khidmat D. Saarvindran dan Shahrul Saad bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Irfan Fazail dan Mohamad Amer Saidin yang tidak cergas sepenuhnya gara-gara kecederaan.

Selain itu, antara pemain Harimau Muda yang masih berada dalam senarai kecederaan ketika ini termasuklah kapten, Mahali Jasuli, Nazirul Naim Che Hashim dan Izzaq Faris Ramlan.

"Walaupun berada di tangga kedua Liga S, masih terlalu awal untuk berasa selesa. Lagi pun matlamat asal kami adalah untuk proses pendedahan," jelas Kim Swee.

Pemain Kedah tertekan angkara penyokong

Posted:

Pemain Kedah tertekan angkara penyokong

Pemain Kedah tertekan angkara penyokong

Oleh AHMAD SYAHIR KASSIM
syahir.kassim@kosmo.com.my


PEMAIN Kedah (jersi hijau) agak tertekan apabila beraksi di halaman sendiri gara-gara kerenah penyokong.


BOLEH menang di tempat lawan, namun belum tentu boleh menang di tempat sendiri.Begitu dilema skuad Kedah yang berdepan tekanan setiap kali beraksi di gelanggang sendiri – Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Perkara yang menghantui pemain ialah sokongan penonton bertukar menjadi cacian.

Pengurus pasukan Kedah, Datuk Khazali Din memberitahu, bukan sekadar cacian, malah ada penyokong yang merendah-rendah dan memperlecehkan pemain sehingga boleh menyebabkan moral mereka jatuh.

Katanya, perkara itu memalukan pemain kerana cacian dilontarkan secara terbuka yang boleh didengar ramai penonton di stadium.

"Pemain amat menghargai sokongan penonton yang membanjiri stadium setiap kali Kedah beraksi, namun mereka kurang selesa dengan cacian dan kata-kata kesat.

"Ia boleh melemahkan semangat mereka. Kesilapan kecil biasa dalam bola sepak, namun pemain mengharapkan penonton memberi semangat dan dorongan kepada mereka untuk beraksi lebih baik," katanya.

Kedah menanti kunjungan Perak pada saingan Liga Super malam ini dalam usaha memburu kemenangan, sekali gus keluar daripada zon penyingkiran.

Menurut Khazali, penonton perlu menjaga emosi mereka supaya jangan mengeluarkan perkataan yang boleh menyakitkan hati pemain.

"Pemain juga manusia yang ada perasaan. Penonton dan pemain perlu sama-sama menjaga hati. Pemain mana yang mahukan kekalahan dalam perlawanan yang diharungi mereka.

"Saya berharap penonton dapat memberi sokongan padu kepada pemain Kedah dan bukannya cacian," katanya.

Tambahnya, kehadiran penonton ke stadium semakin meningkat dan berharap dapat menyuntik semangat pemain untuk beraksi dengan lebih baik, lebih-lebih lagi ketika Kedah memerlukan mata bagi membaiki kedudukan dalam liga.

"Keyakinan pemain amat tinggi selepas menumpaskan T-Team baru-baru ini dan berharap momentum kemenangan itu dapat diteruskan," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan