Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Devan disingkir

Posted:

Devan disingkir

Devan disingkir

JODOH K.Devan bersama Johor FC tidak berpanjangan.Belum pun sampai semusim menjadi jurulatih skuad Lebah, Devan disingkir apabila Johor FC sekadar menghuni tangga kedua tercorot selepas berakhirnya pusingan pertama saingan Liga Super kelmarin.

Keputusan itu disahkan oleh Setiausaha Kehormat Johor FC, Mohd. Tahir Hamdan kepada Kosmo! semalam.

Menurut Mohd. Tahir, kontrak Devan akan ditamatkan serta-merta dan tempat beliau akan diganti oleh Sazali Saidon.

Sazali sebelum ini pernah memangku jawatan ketua jurulatih Johor FC selepas Azuan Zain 'direhatkan' pada September tahun lepas atas alasan kesihatan.

"Pihak pengurusan telah bersetuju untuk melantik Sazali Saidon bagi menggantikan Devan untuk baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

"Bagaimanapun, untuk perlawanan pertama pusingan kedua Liga Super menentang Selangor Selasa ini, penolong jurulatih, Azmi Mohamad akan membawa pemain ke Shah Alam memandangkan proses pertukaran akan mengambil masa beberapa hari," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Bulan lepas, pihak pengurusan Johor FC telah menyerahkan surat amaran kepada Devan serta enam pemainnya dan menetapkan tiga perlawanan terakhir pusingan pertama Liga Super sebagai penanda aras masa depan Devan bersama pasukan berstatus kelab itu.

Bagaimanapun, Johor FC sekadar seri tanpa jaringan menentang Terengganu pada 31 Mac dan tewas 0-1 kepada Lions XII di tempat sendiri sebelum seri 1-1 menentang Selangor kelmarin.

"Pada awalnya kami bercadang untuk merehatkan Devan tetapi selepas berbincang, adalah lebih baik jika kita tamatkan terus kontrak beliau. Saya harap, dengan jurulatih baharu ini, nasib Johor FC akan berubah," kata Mohd. Tahir.

Sementara itu, Devan ketika dihubungi berkata, pihak pengurusan tidak sepatutnya mengambil keputusan terburu-buru.

Katanya, kedudukan Johor FC dalam liga setakat ini tidak menggambarkan prestasi sebenar skuad Lebah.

"Pihak pengurusan harus kaji punca dan kelemahan sebenar pasukan ini. Banyak faktor yang meletakkan Johor FC pada kedudukan sekarang.

"Jika dibuat analisis, prestasi Johor FC di tempat lawan agak baik tetapi kita sering tidak bernasib baik apabila beraksi di tempat sendiri.

"Sepatutnya pihak pengurusan tidak cepat panik dan ambil keputusan terburu-buru," katanya.

Peluang skuad negara cukup cerah

Posted:

Peluang skuad negara cukup cerah

Peluang skuad negara cukup cerah

Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my


GANDINGAN Kien Keat (kiri) dan Boon Heong mampu menyumbangkan sesuatu buat skuad negara.


MESKIPUN dijangka sukar namun peluang skuad negara untuk muncul juara kumpulan pada pusingan akhir Kejohanan Badminton Piala Thomas 2012 di Wuhan, China, Mei depan tetap cerah.

Berdasarkan undian yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam, skuad negara diundi dalam Kumpulan C bersama-sama Denmark dan Afrika Selatan.

Atas kertas, cabaran getir dijangka menanti skuad negara apabila berdepan Denmark.

Ketua jurulatih beregu lelaki, Tan Kim Her berkata, dengan barisan pemain yang dimiliki Denmark, pasukan itu akan menjadi halangan utama buat skuad negara dalam misi untuk muncul juara Kumpulan C.

"Denmark memiliki kekuatan yang seimbang baik dalam acara perseorangan mahupun beregu.

"Dalam acara beregu mereka memiliki beregu No. 3 dunia (Mathias Boe-Carsten Mogensen) dan itu pasti akan menjadi sedikit sukar buat beregu negara (Koo Kien Keat-Tan Boon Heong).

"Berdasarkan pertemuan terakhir, Kien Keat-Boon Heong tewas kepada Boe-Mogense.

"Namun, saya akan pastikan Kien Keat-Boon Heong berada pada tahap prestasi terbaik apabila berdepan dengan beregu Denmark itu sekali gus cuba untuk memenangi perlawanan.

"Satu lagi beregu negara, Goh V Shem-Lim Khim Wah pula perlu berusaha untuk menewaskan beregu kedua Denmark (Mads Conrad-Petersen-Jonas Rasmussen). Jika lihat pada ranking, memang sukar tetapi macam-macam boleh berlaku," kata Kim Her ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut Kim Her, skuad negara perlu menamatkan saingan peringkat Kumpulan C sebagai juara bagi membolehkan mereka diletakkan sebagai pasukan pilihan dalam undian untuk perlawanan peringkat suku akhir.

"Saya jangkakan kita tidak ada masalah untuk menewaskan Afrika Selatan tetapi fokus kita lebih terarah kepada perlawanan menentang Denmark.

"Perlawanan itu penting bagi membolehkan kita bergelar juara kumpulan dan peluang untuk kita menjadi juara kumpulan tetap ada.

"Saya percaya jika semua pemain memberikan aksi terbaik dan fokus dalam setiap perlawanan, kita boleh melakukannya," jelas Kim Her.

Sementara itu, tuan rumah kejohanan, China yang merupakan juara sebanyak lapan kali diundi dalam Kumpulan A bersama-sama Indonesia dan England.

Jepun, Rusia dan New Zealand diundi dalam Kumpulan B manakala naib juara 2008, Korea Selatan akan mengetuai cabaran dalam Kumpulan D bersama-sama Jerman dan Amerika Syarikat.

Juara dan naib juara setiap kumpulan akan mara ke peringkat suku akhir.

Pusingan akhir Piala Thomas 2012 akan berlangsung di Pusat Sukan Gimnasium Wuhan, China bermula 20 hingga 27 Mei depan.

Ghaddar kembali disenaraikan

Posted:

Ghaddar kembali disenaraikan

Ghaddar kembali disenaraikan

Oleh KHAIRI MOHAMAD
khairi.mohamad@kosmo.com.my


GHADDAR kembali disenaraikan dalam skuad liga Super Kelantan.


SEPERTI yang diramal, penyerang import dari Lebanon, Muhammad Ghaddar kini kembali menyarung jersi skuad Liga Super Kelantan selepas berjaya meledak lima gol dalam dua perlawanan terakhir.

Hatrik ketika aksi di Kota Bharu dan dua lagi gol direkodkan di Kota Malang, Indonesia ketika aksi menentang Arema FC dalam kempen Piala AFC berjaya memikat hati pihak pengurusan.

Selepas hampir dua bulan direhatkan ekoran bergelut dengan prestasi yang tidak begitu memberangsangkan, Ghaddar membuktikan beliau adalah taruhan terbaik untuk Kelantan menghadapi baki saingan Liga Super yang akan memasuki pusingan kedua.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Negeri, Rosmadi Ismail berkata, keputusan membawa masuk kembali Ghaddar menggantikan Onyekachi Nwoha berkuat kuasa serta-merta.

Menurutnya, selepas meneliti prestasi semasa pemain berkenaan, pihak pengurusan dan jurulatih, Bojan Hodak setuju untuk menyenaraikan Ghaddar sebagai pemain import untuk aksi Liga Malaysia.

"Keputusan tersebut dibuat selepas pihak pengurusan meneliti laporan yang disediakan oleh pihak jurulatih dan kita berpendapat Ghaddar lebih baik namun, khidmat Nwoha tetap diperlukan.

"Tidak timbul campur tangan daripada pihak pengurusan dalam keputusan ini kerana sejak dulu lagi kita menyerahkan urusan pasukan kepada pihak jurulatih untuk membuat penilaian," katanya ketika ditemui semalam.

Tambahnya, keputusan untuk mengekalkan Nwoha juga tertakluk kepada perbincangan antara pihak pengurusan dan pemain tersebut. Sekiranya Nwoha bersetuju untuk kekal, beliau akan beraksi pada Piala AFC.

Katanya, setakat ini Kelantan mengekalkan empat pemain importnya termasuk dua lagi, pemain pertahanan Obinna Nwaneri untuk Liga Malaysia dan Denny Antwi yang disenaraikan untuk beraksi pada Piala AFC.

"Merujuk prestasi Ghaddar dalam perlawanan lepas, kita berharap dan yakin beliau mampu memberikan yang terbaik kepada pasukan.

"Semua tahu kita mempunyai jadual yang ketat, jadi kita memerlukan pemain yang mempunyai prestasi dan kualiti yang tinggi. Kita harap Ghaddar bersedia untuk itu," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Rosmadi yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memberitahu, penggantungan Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa tidak menjejaskan proses pengurusan pasukan.

Jelasnya, pihak pengurusan menjalankan tugas seperti biasa dengan mengikut segala peraturan yang ditetapkan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen